Nicol David Menang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman

Datuk Nicol David.

KUALA LUMPUR: Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, sebentar tadi.

Sebaik undian ditutup pada jam 9 malam tadi, bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu nyata unggul apabila menerima 318,943 undian yang diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.

“Ia adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman dan menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy.

“Ia sesuatu yang agak mengejutkan untuk saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain dan saya bersyukur untuk perkara ini. Diharapkan kejayaan ini mampu menarik perhatian dunia terhadap sukan skuasy.

“Saya berbangga dapat mewakili negara saya dan Asia,” kata Nicol yang menjadi atlet tunggal dari Asia yang dicalonkan.

Jumlah undian yang diterima Nicol itu jauh meninggalkan pencabar utamanya yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe yang menerima 113,120 undian untuk berada di tempat kedua.

Legenda powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova pula berada di kedudukan ketiga dengan 80,790 undian.

Sebagai rekod, pemain hoki dari India, Ritu Pani memenangi anugerah terbabit bagi edisi 2019.

Anugerah terbabit dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.

Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *