Sabah Kaji Penubuhan Suruhanjaya Air – Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU, 29 Jan : Kementerian Kerja Raya Sabah kini sedang mengkaji penubuhan Suruhanjaya Air bagi mengurus bekalan air di negeri itu secara lebih berkesan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata kajian itu dilakukan secara menyeluruh di semua peringkat dan turut melibatkan kajian daripada segi perundangan dan kerajaan tempatan sebelum  dibentangkan kepada Kabinet Negeri Sabah.

“Telah dimaklumkan (di peringkat Kerajaan Negeri), sebab itu kita jalankan kajian secara terperinci dan menyeluruh, dan apabila tiba masanya akan dibawa ke (Persidangan) Dewan Undangan Negeri ,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai di sini hari ini.

Mengulas mengenai lawatannya itu, beliau berkata pihaknya telah mengesan pelbagai masalah dihadapi penduduk antaranya bekalan air, sistem perparitan dan jalan rosak, justeru pihaknya akan memastikan masalah penduduk akan diatasi segera.

“Saya dapati antara masalah dihadapi adalah jalan raya tidak diselenggara berpuluh tahun, masalah perparitan tersumbat, masalah setinggan, kecurian air dan elektrik…di Bandar Sierra salah satu (kawasan bermasalah) yang tular di media sosial dan mereka memerlukan bekalan air,” katanya.

Bung Moktar berkata hasil penelitian mendapati kawasan itu mempunyai bekalan air yang cukup, bagaimanapun kekurangan untuk menyimpan bekalan sumber tersebut.

Beliau berkata lawatan meninjau permasalahan infrastruktur rakyat akan dilakukan pihaknya ke seluruh Sabah bagi memastikan segala masalah diatasi dan berharap semua pihak mengambil langkah proaktif memastikan masalah itu tidak berpanjangan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *