OKU Buat Khidmat Buang Sampah RM1 Lepas Hilang Kerja

Gideon dibayar RM1 untuk setiap sampah yang diambil daripada penduduk Taman Putera Jaya, Telipok. – Gambar Mohd Adam Arinin.

KOTA KINABALU: Pemuda orang kurang upaya (OKU) lembam menawarkan perkhidmatan membuang sampah dari rumah ke rumah dengan upah serendah RM1, selepas kehilangan pekerjaan, tahun lalu.

Gideon J Joeplik, 35, memulakan perkhidmatan itu sejak dua minggu lalu selepas dicadangkan ahli keluarga dan beroperasi di sekitar Taman Putera Jaya, Telipok, di sini.

Katanya, dia tidak menyangka usahanya itu mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat, malah ada yang membayarnya lebih.

“Saya selalu ke rumah kakak di blok berdekatan dan kerap menolong abang ipar buang sampah ke tempat pengumpulan sampah. Jadi suami kakak mencadangkan saya melakukan perkhidmatan itu dengan kadar RM1 bagi setiap bakul sampah.

“Juga kerana saya sudah tiada pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun lalu.

“Selepas dipersetujui ahli keluarga, maka abang ipar membuat hebahan di Facebook miliknya selain grup WhatsApp dan ada penduduk mula menelefon untuk mendapatkan perkhidmatan saya,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Sementara itu, abang ipar Gideon, Terrance T Suilih, 40, berkata, idea membantu pemuda itu timbul selepas kerap melihat Gideon membantu mereka membuang sampah.

“Kawasan perumahan ini mempunyai banyak blok apartmen dan pastinya penduduk yang tinggal di tingkat atas, jarang turun ke bawah semata-mata untuk membuang sampah. Keadaan itu juga yang mendorong saya mencadangkan perkhidmatan itu.

“Malah, isteri saya juga bersetuju dengan cadangan itu kerana setidak-tidaknya ia dapat membantu Gideon menambah pendapatan kerana sukar mencari pekerjaan ketika ini,” katanya yang turut mencadangkan Gideon menggunakan basikal untuk mudah bergerak.

Dia juga mengingatkan Gideon supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 dengan memakai pelitup muka dan mencuci tangan termasuk dengan pensanitasi tangan.

Sementara itu, seorang penduduk, Anicius Justin, 47, berkata, dia kerap menghubungi Gideon untuk perkhidmatan itu dan menyifatkan ia satu usaha yang baik untuk membantu meringankan kerja rumahnya.

Selain itu katanya, mereka juga dapat membantu Gideon menambah pendapatan ketika tempoh sukar pandemik ini. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *