COVID-19: China Guna Kaedah Calitan Dubur Kesan Virus

BEIJING: China mula melaksana saringan COVID-19 menerusi kaedah calitan dubur, ke atas individu berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.

Pihak berkuasa menggunakan kaedah itu ke atas penduduk kawasan yang disahkan terdapat kes positif virus terbabit di bandar raya ini pada minggu lalu, selain melaksanakan proses sama ke atas individu yang ditempatkan di pusat kuarantin.

Doktor kanan dari Hospital You’an, Li Tongzeng, berkata pengesanan virus menggunakan kaedah itu terbukti lebih berkesan, berbanding calitan di saluran pernafasan.

Katanya, kadar pengesanan lebih tinggi kerana virus itu berada lebih lama di bahagian dubur, berbanding di saluran pernafasan.

Bagaimanapun, penggunaan kaedah terbabit mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pengguna media sosial.

“Saya amat beruntung dapat pulang awal ke China. Risiko rendah tetapi amat memalukan (jika dicalit di dubur),” menurut seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi pengguna media sosial turut menjadikan penggunaan kaedah itu sebagai bahan jenaka.

“Saya menjalani dua calitan. Setiap satu calitan dubur, jururawat akan melakukan calitan di tekak. Saya risau jika jururawat terlupa menukar kapas pencalit baharu,” katanya. – AFP

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *