Covid-19: Tongod Satu-Satunya Daerah Zon Kuning Di Sabah

KOTA KINABALU: Memasuki hari ke-14 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah, kes positif Covid-19 masih kekal tiga angka dan hampir kesemua daerah menuju ke arah zon merah.

Hari ini, Tongod menjadi satu-satunya daerah yang berada di zon kuning iaitu kawasan yang mencatatkan 20 kes dan ke bawah. Manakala, empat daerah berada dalam zon jingga iaitu Telupid, Tenom, Beluran dan Kuala Penyu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes positif baharu yang dilaporkan hari ini menurun kepada 303 kes dan tiada sebarang kes kematian dan kluster baharu.

Masidi berkata, daripada 303 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 49 kes, diikuti Tawau (36), Lahad Datu (35), Papar (17), Kinabatangan (17), Kudat (15), Ranau (15), Keningau (14), Putatan (12), Sandakan (11), Tuaran (11), Kota Belud (7), Kalabakan (7), Kunak (6) dan empat kes di Telupid, Kuala Penyu dan Kota Marudu.

Sementara, Beaufort (3), Pitas (3), Nabawan (2) dan satu kes di Sipitang dan Tenom.

Menurutnya, daripada 303 kes positif itu, sebanyak 209 kes atau 68.9 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 54 kes, saringan kluster sedia ada 16 kes, saringan Perkeso lima kes dan 19 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 403 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 43,209 kes. Kes kematian di Sabah kekal 315 kes.

Setakat ini, sebanyak 47,442 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,697 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 815 orang di hospital dan 1,880 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 92 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 25 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,804 katil dan peratus penggunaan adalah 39.64 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *