RM40 Juta Kos Baiki Kawasan Parkir Taman Kinabalu – Bung

RANAU: Kerja-kerja pembaikan kawasan tempat letak kereta Taman Negara Kinabalu, Kundasang yang runtuh akibat hujan lebat baru-baru ini dianggarkan memerlukan kos sejumlah RM40juta.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerja-kerja pembaikan ini bagaimanapun akan mengambil sedikit masa bagi mengkaji pergerakan tanah di kawasan itu.

“Ini akan mengambil sedikit masa sebab kajian pergerakan tanah kena diambil kira. Kita tidak mahu selepas ianya dibina, kemudian ia runtuh sekali lagi.

“Kita akan mengadakan perbincangan lebih komprehensif dalam kalangan agensi kerajaan terlibat seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), geologi dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar,” katanya selepas mengadakan tinjauan di kawasan letak kereta Taman Negara Kinabalu yang mengalami runtuhan pada Rabu.

Beliau, yang juga Menteri Kerja Raya ini berkata, pembaikan ini akan dijalankan secepat mungkin setelah hasil kajian diperoleh. Ini bagi memastikan jalan ini selamat digunakan kerana ia adalah jalan utama dari Kota Kinabalu ke Ranau dan kawasan Pantai Timur Sabah.

Mengenai jalan dan jambatan runtuh yang terjejas akibat hujan lebat di Sabah pada minggu lepas, Bung berkata, pada peringkat awal terdapat lebih 100 jalan dan jambatan tidak boleh dilalui.

Namun, tindakan pantas JKR bagi membuat lencongan dan perbaiki jalan-jalan itu kini, hanya 17 sahaja lagi jalan yang langsung tidak boleh dilalui.

Keseluruhan kos bagi membaiki jalan yang runtuh akibat hujan lebat ini berjumlah RM150 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan kerajaan persekutuan bagi menyediakan peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan yang mengalami runtuhan ini.

Untuk jambatan runtuh di Pitas, kerja-kerja pembaikan jalan dan jambatan di Talaga, Pitas sudah siap dibina sepenuhnya.

Katanya, hanya jalan dan jambatan di Kampung Liu sahaja lagi yang akan diperbaiki. Kerja-kerja pembaikan ini memerlukan sedikit masa dan diharap tidak hujan kerana cuaca hujan akan melambatkan kerja-kerja baik pulih dilakukan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *