PdPR: Bapa Kelam Kabut, 6 Anak Terpaksa Kongsi Satu Laptop

Sallehin berkata, bagi ibu bapa yang hanya mempunyai seorang atau dua anak, perkara itu mungkin tidak mendatangkan sebarang masalah. – AWANI

KUALA LUMPUR: Sebelum ini pembelajaran dalam talian hanyalah satu pilihan, namun pada ketika dunia berdepan dengan situasi pandemik, ia menjadi satu keperluan.

Persoalannya, bagaimana dengan ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai dan perlu menyediakan alat bantuan pembelajaran secara serentak.

Jurukamera Astro AWANI, Sallehin Hussain berkata, bagi ibu bapa yang hanya mempunyai seorang atau dua anak, perkara itu mungkin tidak mendatangkan sebarang masalah.

Namun bagi dirinya, dengan hanya memiliki satu komputer riba, enam anaknya yang berusia enam hingga 13 tahun terpaksa berebut sesama sendiri apabila sesi pembelajaran dilakukan secara serentak.

“Komputer riba hanya ada satu, jadi, agak kelam-kabut. Saya dan isteri perlu duduk semeja dengan anak sulung yang sekolah menengah pada hari orientasi persekolahan.

“Pada masa sama, saya perlu pantau anak kedua, ketiga dan keempat, kerana mereka ada sesi orientasi dan sesi pengenalan dengan ibu bapa dan macam-macam lagi,” jelasnya.

Selain berdepan masalah capaian internet yang lemah, Sallehin juga terpaksa membuat keputusan untuk mendahulukan kelas-kelas yang mempunyai interaktif dua hala.

“Mungkin ada ibu bapa yang senasib dengan saya, dan mungkin ada yang lebih teruk. Kalau anak tak ramai, mungkin kurang sedikit kelam kabutnya, masih boleh diuruskan.

“Bagi situasi saya, mungkin agak kelam-kabut kerana anak yang ramai. Kalau saya tak bekerja, saya berikan telefon pintar saya untuk digunakan oleh anak.

“Pun begitu, penggunaan telefon bimbit ada kekangannya sendiri kerana power point yang dikongsi guru tidak begitu jelas, memandangkan paparan skrin terlalu kecil,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Justeru, Sallehin meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti semula pelan pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR) ini bagi mengelakkan mana-mana pelajar tercicir dalam proses tersebut.

Katanya, adalah sesuatu yang sukar dan tidak releven bagi keluarga yang sederhana atau kurang mampu untuk menyediakan setiap anak dengan sebuah komputer riba. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *