COVID-19: Kontak Rapat Sumbang 71.5% Kes Baharu Di Sabah

Sebanyak 431 kes Covid-19 dicatatkan hari ini di Sabah dengan dua kematian membabitkan pesakit di Kalabakan dan Beluran.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, sebanyak 308 atau 71.5% kes Covid-19 baharu dicatatkan di Sabah hari ini berpunca daripada saringan kontak rapat.

Beliau berkata, sebanyak 431 kes dicatatkan hari ini dengan dua kematian membabitkan pesakit di Kalabakan dan Beluran.

“Selain saringan kontak rapat, sebanyak 53 kes atau 12.3% daripada saringan kluster baharu dan sedia ada, 47 kes atau 10.9% saringan bergejala, tiga kes atau 0.7% saringan kemasukan pelajar ke asrama dan 20 kes lagi atau 4.6% daripada lain-lain kategori,” katanya dalam taklimat harian perkembangan Covid-19.

Masidi berkata, dua kluster baharu turut dikesan iaitu Ladang Segama dan kluster Jalan Segama, kedua-duanya di Lahad Datu.

“Kluster Ladang Segama mencatatkan 16 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 22 kes dan kes indeks dikesan menerusi saringan tempat kerja bawah program PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) pada 16 Jan.

“Sementara itu, kluster Jalan Segama mengesan tujuh kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes dan kes indeks dikesan menerusi saringan bergejala pada 19 Jan.

“Susulan penemuan kes itu juga (kluster Jalan Segama), saringan kontak rapat masih dijalankan dalam kalangan warga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Lahad Datu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata jumlah kapasiti katil di hospital Covid-19 di Sabah setakat ini sebanyak 1,106 unit manakala jumlah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam sebanyak 4,580.

Selain itu, katanya, jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara kekal sebanyak 1,100 unit dan ini menjadikan jumlah kapasiti katil di Sabah sebanyak 6,786 dengan penggunaan katil hari ini 41.17%. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *