Covid-19: Kluster Baharu Di Sabah Babitkan Kakitangan KWSP Lahad Datu

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 431 kes baharu, dua kematian dan dua kluster baharu Covid-19, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua kluster baharu iaitu kluster Ladang Segama dan kluster Jalan Segama dilaporkan di Lahad Datu. Kluster ladang segama membabitkan 16 kes baharu dengan kumulatif sebanyak 22 kes. Kes ini dikesan melalui saringan tempat kerja dibawah program Perkeso.

Manakala, kluster Jalan Segama pula membabitkan kakitangan warga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Lahad Datu yang mencatatkan tujuh kes baharu, dengan kumulatif sebanyak 20 kes. Kes ini dikesan melalui saringan bergejala pada 19 Jan lalu dan saringan kontak rapat dilakukan dalam kalangan kakitangan KWSP Lahad Datu.

Dua kes kematian hari ini membabitkan lelaki warganegara berusia 60 tahun dan lelaki bukan warganegara berusia 68 tahun yang masing-masing dilaporkan di Kalabakan dan Beluran.

Masidi berkata, daripada 431 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 68 kes, diikuti Lahad Datu (46), Keningau (34), Tawau (33), Penampang (32), Putatan (28), Beaufort(25), Papar (24), Sandakan (22), Kota Belud (18), Kudat (14), Kota Marudu (13), Tuaran (11), Kinabatangan (10), Telupid (9), Sipitang (8), Ranau (7) dan lima kes di Semporna, Pitas dan Kalabakan.

Manakala, Tambunan (4), Kunak (4), Nabawan (3), Kuala Penyu (2) dan satu kes di Tongod.

Hari ini Telupid bertukar dari zon kuning kepada zon jingga dan ini bermakna hanya dua daerah di Sabah yang masih berada dalam zon kuning iaitu Kuala Penyu dan Tongod.

Masidi berkata, daripada 431 kes positif itu, sebanyak 308 kes atau 71.5 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 47 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 53 kes, saringan pelajar masuk asrama tiga kes dan 20 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 393 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 42,406 kes. Kes kematian di Sabah bertambah kepada 312 kes.

Setakat ini, sebanyak 46,791 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,794 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 847 orang di hospital dan 1,928 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Terdapat 87 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,786 katil dan peratus penggunaan adalah 41.17 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *