Syarikat Konsesi Kawal Runtuhan Jalan Di Laluan Kinabalu Park

Laluan di Kilometer 20, Jalan Ranau – Tamparuli di hadapan jalan masuk ke Taman Kinabalu, Kundasang ditutup separuh disebabkan tanah runtuh. – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Syarikat konsesi penyelenggaraan jalan raya memulakan kerja-kerja mengawal runtuhan di Kilometer 20, Jalan Ranau – Tamparuli berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran laluan berkenaan, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ali Ahmad Hamid, berkata syarikat terbabit akan melaksanakan tindakan yang bersesuaian sehingga kerja pembaikan mula dilaksanakan.

Katanya, kerja pembaikan runtuhan di laluan berhadapan jalan masuk ke Taman Kinabalu di Kundasang, Ranau itu akan dimulakan sejurus peruntukan yang dimohon daripada Kerajaan Persekutuan diterima.

“Pihak konsesi sudah mengambil tindakan perlu dan sementara itu kita akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki kerosakan ini,” katanya ketika dihubungi untuk mengulas perkembangan semasa di laluan terbabit, di sini.

Dalam kejadian pagi Rabu lalu, hampir keseluruhan ruang letak kereta bersebelahan lorong kiri dari arah Ranau ke Kota Kinabalu ranap apabila tanah di kawasan itu runtuh dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak minggu lalu.

Runtuhan sepanjang kira-kira 150 meter dan 100 meter lebar itu membimbangkan orang ramai berikutan kedudukannya sangat hampir dengan jalan raya yang menjadi laluan utama menghubungkan pantai barat dengan pantai timur Sabah.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyatakan pihaknya memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membaiki runtuhan itu.

Jelasnya, runtuhan itu perlu dibaiki supaya tidak melarat hingga meruntuhkan jalan raya dan memastikan keselamatan orang ramai terutama pengguna jalan raya sentiasa terjamin.

Sementara itu, Jurutera JKR Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman dalam satu makluman mengenai laluan berkenaan, menyatakan lorong sebelah kiri dari arah Ranau ke Kota Kinabalu sepanjang 250 meter ditutup sejak petang kelmarin.

Penutupan itu katanya sebagai langkah keselamatan bagi mengelak kemungkinan berlaku runtuhan baharu hingga ke kawasan jalan raya berikutan kedudukan bahagian yang runtuh sebelum ini sangat hampir dengan jalan raya.

Pada masa yang sama, katanya penutupan itu juga bagi membolehkan pekerja syarikat konsesi, Lintasan Resources Sdn Bhd melaksanakan kerja mengawal runtuhan dan penyelenggaraan di sepanjang lorong berkenaan.

Dalam pada itu, Ali Ahmad berkata JKR Sabah menyediakan aplikasi mudah alih Aduan Jalan Raya JKR Sabah bagi memudahkan orang ramai menghantar aduan mengenai kerosakan jalan raya kepada jabatan itu.

Katanya, aplikasi itu boleh dimuat naik melalui Google Play Store di pautan https://play.google.com/store/apps/details?id=com.jkrapp.

Aplikasi baharu itu katanya juga memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai lokasi berlaku kerosakan jalan raya di bawah penyeliaan JKR di seluruh Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *