Kadar Pematuhan SOP Di Sabah Rendah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kadar pematuhan SOP yang rendah bagi daerah-daerah di Sabah adalah disebabkan ibubapa dan penjaga yang menghantar pelajar ke sekolah mengambil peluang membeli belah dan menyebabkan bilangan kenderaan dan pergerakan orang ramai di kawasan bandar semakin meningkat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKP pada 22 Januari 2021 ialah 92.25 peratus.

Menurutnya, daerah yang mencatatkan kepatuhan tertinggi ialah Sipitang pada 94 peratus, manakala lima daerah mencatatkan kepatuhan terendah pada 91 peratus iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Penampang, Lahad Datu dan Tawau. 

“Kerajaan Negeri memandang berat perkembagan ini dan menasihatkan orang ramai agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dan hanya membeli barang-barang keperluan di tempat masing-masing dalam radius 10 kilometer (KM).

Masidi Manjun

“Pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar pada SOP yang sedang berkuat kuasa dengan mengenakan kompaun RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya.

Dalam satu kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 pada Jumaat, Masidi berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 adalah sebanyak 453 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 45,862 kes. 

Katanya terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Ladang Desa Jerocco, Kinabatangan dengan 34 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 38 kes yang melibatkan dua orang pekerja penyabit buah sawit yang positif RTK Ag dalam saringan PERKESO. 

Susulan penemuan itu, beliau menambah bahawa Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan mengarahkan pihak pengurusan ladang menjalankan saringan kontak rapat dan saringan pekerja ke atas 70 pekerjanya dan daripada jumlah itu, 36 lagi kes positif COVID-19 berjaya dikesan. 

Penilaian risiko serta saringan masih lagi diteruskan ke ladang-ladang milik syarikat yang sama, katanya.

“Daripada 453 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 293 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 71 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 49 kes, saringan pelajar masuk asrama tiga kes, saringan komuniti tiga kes, saringan PERKESO satu kes dan 33 kes adalah dari lain-lain kategori.

“Tiga kes kematian direkodkan hari ini iaitu di Kinabatangan, Sandakan dan Lahad Datu. Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terlibat,” katanya.

Menjawab soalan media mengenai kes kematian di kalangan kes positif COVID-19, Masidi berkata kebanyakan daripada mereka yang terkesan teruk daripada jangkitan COVID-19 mempunyai riwayat penyakit kronik seperti masalah jantung, penyakit diabetes, penyakit paru-paru kronik dan penyakit buah pinggang.

“Setakat 21 Januari 2021, Sabah telah merekodkan sebanyak 307 kematian di kalangan kes positif COVID-19. Daripada jumlah ini, 131 kematian telah dilaporkan daripada wad ICU, 54 daripada wad pengasingan atau unit kecemasan, manakala selebihnya 122 adalah kematian di luar hospital. 

“Kategori umur kematian di bawah 20 tahun mencatatkan seramai tujuh orang, 21-50 tahun seramai 46 orang, 51-60 tahun seramai 66 orang, 61-70 tahun seramai 94 orang, 71-80 tahun seramai 56 orang, 81-90 tahun seramai 32 orang dan yang berumur melebihi 91 tahun seramai enam orang,” jelasnya.

Selain itu, beliau mengumumkan seramai 650 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 41,579 orang. 

“Sejumlah 2,839 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 862 orang di hospital, 1,958 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. 

“Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 81 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

“Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,100 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,580 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara pula kekal 1,100 unit. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti katil ialah 6,780 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 41.87%,” jelasnya.

Dalam pada itu, Masidi turut berkata bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melanjutkan waktu operasi restoran, kedai/ gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/ pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/kiosk termasuk perkhidmatan penghantaran makanan di antara jam 6 pagi sehingga jam 10 malam.

Beliau berkata aktiviti penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja. 

Semua stesen minyak di negeri ini juga dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga jam 10 malam, tambahnya.

Mengenai Sekatan Jalan Raya (SJR), katanya sebanyak 63 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 41,333 kenderaan. 

Daripada jumlah tersebut, Masidi berkata 205 buah kenderaan diarah berpatah balik dan tiada tangkapan dibuat. Namun, 41 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19, terangnya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *