7 Kesan Tembakan Tembusi Kepala Gajah Borneo

Bangkai gajah Pigmy Borneo yang ditemui dengan kesan tembakan dan tetakkan di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Imbak, Tongod.- Foto Ihsan PDRM

KINABATANGAN: Punca kematian gajah Borneo Pygmy yang ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Imbak, Tongod di sini, Rabu lalu disahkan akibat tujuh tembakan yang menembusi kepala haiwan itu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, ia hasil bedah siasat dijalankan Unit Veterinar Sepilok yang menjalankan siasatan penuh terhadap bangkai haiwan yang dilindungi itu.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati gajah jantan itu berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun.

“Pemeriksaan juga mendapati hampir keseluruhan kulit gajah berkenaan dilapah manakala kepala dan kaki kanan depan juga dipercayai dipotong.

“Gajah berkenaan dipercayai mati dalam tempoh tiga hingga empat hari sebelum ia ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dzulbaharin berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar kemudiannya menemukan kedua belah telinga dan kaki depan haiwan itu pada jarak 11 meter dari bangkainya.

Selain itu katanya, pemeriksaan lanjut seterusnya juga berjaya menemui kepala gajah berkenaan yang ditutup dengan daun pelepah sawit dipercayai bertujuan cuba disembunyikan.

“Kedua-dua gading gajah masih dalam keadaan baik namun belalai sudah dipotong.

“Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Norazmeer Azmi ditalian 089-561890 atau 013-6309080 untuk membantu siasatan lanjut.

Dalam kejadian jam 8 pagi Rabu lalu, pengurus ladang berkenaan membuat laporan polis selepas menemui bangkai gajah berkenaan.

Bertindak atas maklumat itu, polis bersama Jabatan Hidupan Liar Kinabatangan dan unit Veterinar Sepilok dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 172 kilometer dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk menjalankan siasatan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *