Sabah Lebih Garang Musim Ini

Kurniawan tagih sokongan padu penyokong Sabah.

KOTA KINABALU: Selepas hampir kesemua pemain tempatan dikekalkan, pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berharap musim baharu akan lebih baik berbanding tahun lalu yang dianggap sedikit suram.

Katanya, beliau juga memburu pemain import yang sesuai dengan corak permainan mereka bagi memperkuatkan lagi pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super.

“Yang pasti saya berharap musim ini lebih baik dari musim lalu dan mudah-mudahan semuanya dapat berjalan lancar kerana hampir semua pemain tempatan ‘bertahan’ dengan pasukan ini, jadi mereka sudah memahami perancangan permainan kita.

“Diharapkan juga bakal pemain import pantas menyesuaikan diri sambil berharap warga Sabah memberi sokongan serta mendoakan agar pasukan ini berjaya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Kurniawan sebelum ini sah kembali menjadi ketua jurulatih skuad Badak selepas menandatangi kontrak baharu selama setahun dengan Sabah Football Club (FC), baru-baru ini.

Selain hampir kesemua pemain tempatan dikekalkan untuk saingan musim ini, Sabah hanya mengekalkan seorang daripada empat pemain import mereka musim lalu iaitu pertahanan dari Korea Selatan, Park Taesu.

Pada musim lalu, pasukan Sabah sekadar menduduki tempat ke-10 dalam saingan Liga Super yang hanya dijalankan secara satu pusingan berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Daripada 11 perlawanan yang diharungi, pasukan itu hanya memenangi dua aksi selain tiga kali seri dan tewas enam kali.

Skuad kendalian Kurniawan selepas itu juga tidak langsung tidak beraksi di Piala Malaysia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

Dengan apa yang berlaku musim lalu termasuk keadaan saingan yang tidak menentu akibat Covid-19, ia bukanlah pengukur terhadap pencapaian Kurniawan dan beliau sememangnya layak untuk diberi peluang sekali lagi bagi membuktikan kemampuan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *