Kawasan Parkir Taman Negara Gunung Kinabalu Runtuh

Kawasan parkir Taman Negara Gunung Kinabalu yang runtuh kira-kira jam 1 pagi, hari ini.

RANAU: Kawasan parkir berhampiran Taman Negara Gunung Kinabalu, Kundasang, di sini, ditutup sebaik tanah runtuh berlaku, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, tiada orang awam dilaporkan cedera serta tidak menyebabkan laluan utama Jalan Ranau-Tamparuli terjejas.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau, Mac Glen Frederick Lojuman berkata, pihaknya menerima aduan jam 7.15 pagi dan segera menjalankan pemantauan dengan kerjasama syarikat konsesi serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawasan parkir Taman Negara Gunung Kinabalu yang runtuh kira-kira jam 1 pagi, hari ini.

“Ia berlaku di hadapan simpang pusat pelancongan dan tidak menjejaskan laluan kedua-dua arah menghala Kota Kinabalu.

“Runtuhan dipercayai akibat hujan berterusan beberapa hari dan kita sudah melaksanakan penutupan kawasan untuk tindakan lanjut,” katanya dihubungi.

Menurutnya, runtuhan sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter itu tidak membabitkan penempatan penduduk kampung.

Kawasan parkir Taman Negara Gunung Kinabalu yang runtuh kira-kira jam 1 pagi, hari ini.

“Selain itu, tiada kerosakan harta benda atau kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Sementara itu, kakitangan pusat pelancongan, Devronica Miki berkata, ketika kejadian dia terkejut mendengar bunyi dentuman bertalu-talu.

“Semua kakitangan bergegas melihat sekiranya terdapat mangsa selain mengambil langkah berjaga-jaga.

“Mujur ketika ini, Taman Negara Gunung Kinabalu ditutup bagi mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekali gus dapat mengelak risiko harta benda atau nyawa pengunjung,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *