Jalan Paitan-Kanibongan Terputus Hubungan

Jalan Raya Paitan Ke Kanibongan, putus akibat tanah runtuh.

BELURAN: Jalan raya Paitan ke Kanibongan terputus hubungan akibat tanah runtuh di Kilometer 127.5, berdekatan Kampung Kubambangan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 malam, sebuah bangunan Loji Rawatan Air Paitan turut ranap bersama runtuhan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kassim Muda berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan terbabit sejak kebelakangan ini.

“Kejadian itu mengakibatkan jalan raya utama berdekatan Loji Rawatan Air Paitan mengalami keretakan tanah yang besar.

“Pada masa sama bangunan kuarters loji air menggelongsor akibat runtuhan tersebut. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana rumah tersebut tidak didiami oleh pekerja.

“Akibat runtuhan itu, laluan jalan raya terputus dan tidak dapat di lalui,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya sudah dimaklumkan untuk mengambil tindakan baik pulih agar laluan berkenaan dapat dilalui semula.

“Papan tanda amaran dipasang bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *