Pelajar Kembali Ke Asrama Digalakkan Jalani Swab Test Covid-19

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Pelajar yang ingin kembali ke asrama digalakkan menjalani saringan Covid-19 bagi membendung kemungkinan penularan jangkitan Covid-19 di asrama sekolah.

Justeru itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengarahkan semua Pejabat Kesihatan Kawasan dan Pejabat Kesihatan Daerah dengan bantuan Pejabat Pendidikan Daerah untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas pelajar-pelajar asrama.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, langkah ini selaras dengan saranan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang menggalakkan semua pelajar yang menduduki peperiksaan dan masuk ke asrama untuk menjalani ujian saringan Covid-19 bersesuaian dengan inisiatif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Masidi Manjun

Masidi berkata, berdasarkan kepada surat siaran KPM pada 6 Jan, pelajar-pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 dan 2021 dibenarkan kembali ke asrama mulai 16 Jan bagi membolehkan pelajar mengikuti sesi persekolahan yang akan bermula pada 20 Jan ini.

Berdasarkan pemakluman KPM ini, pelajar adalah dibenarkan kembali ke asrama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Mengenai kes guru yang pulang ke Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah tidak ada menerima laporan guru yang dikesan positif Covid-19 di pintu-pintu masuk utama di negeri Sabah.

“Berdasarkan SOP yang ditetapkan, guru-guru yang pulang ke Sabah perlu membuat ujian swab Covid-19 sebelum perjalanan dan bukannya semasa ketibaan. Maka, JKNS tidak menyimpan rekod ujian guru-guru sebelum kemasukan ke Sabah,” jelasnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *