Kes Jenayah Rentas Sempadan Di Perairan Tawau Catat Penurunan

Mohd Nazari Ismail

TAWAU, 19 Jan : Kes jenayah rentas sempadan serta kemasukan pendatang haram di perairan Tawau pada tahun lepas merekodkan pengurangan kira-kira 50 peratus berbanding tahun sebelumnya susulan pelaksanaan Op Cegah Pati serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau DSP Mohd Nazari Ismail berkata 159 kes tangkapan membabitkan rampasan RM2.13 juta direkod pada tahun lepas berbanding 317 kes dengan rampasan RM3.18 juta pada 2019.

“Antara ancaman semasa yang berlaku di perairan Tawau hingga Kalabakan ini termasuk isu pendatang haram yang dikhuatiri membawa wabak COVID-19, penyeludupan dadah serta barang kawalan,” katanya  kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sedaya upaya membendung pembolosan jenayah rentas sempadan sama ada masuk atau keluar dari perairan Tawau.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu kemasukan pendatang haram berkait rapat dengan faktor bentuk muka bumi di Daerah Tawau dan Kalabakan yang memudahkan aktiviti penyeludupan manusia berlaku khususnya di laluan sungai di sempadan negara dan Indonesia.

Katanya bagi aktiviti penyeludupan barang kawalan, pihaknya mengesan penggunaan bot tempatan berlesen oleh penyeludup dengan menggunakan alasan membawa barang bersubsidi kepada penduduk di Pulau Sebatik di sini, namun sebenarnya dibawa ke negara jiran seperti Indonesia.

Sementara itu, Mohd Nazari berkata tahap pematuhan komuniti maritim termasuk penduduk di Pulau Sebatik semasa penguatkuasaan PKP memuaskan dengan tiada sebarang tindakan diambil setakat ini.

“Sejak bermulanya PKP siri kedua ini belum ada lagi pengguna maritim yang dikenakan kompaun, tangkapan atau pun penduduk diarah berpatah balik, namun semalam kita ada beri nasihat dan amaran.

Setakat ini, semua bot penumpang daripada Pulau Sebatik ke Tawau bergerak mengikut jangka masa prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu  6 pagi hingga 2 petang, manakala bot nelayan pula beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Terdahulu, wartawan Bernama yang mengikuti rondaan Pasukan Polis Marin mendapati hanya beberapa bot nelayan serta bot penumpang berada di sekitar perairan Tawau di sini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *