Jelius Ating Disisihkan Sabah?

Jelius Ating

KOTA KINABALU: Walaupun pernah menjulang nama Sabah apabila menjuarai Liga Perdana pada 2019 sekali gus mengembalikan semula pasukan itu ke pentas Liga Super musim lalu, Jelius Ating kini dikatakan tiada dalam perancangan Sabah FC, musim ini.

Difahamkan, selain tidak tersenarai dalam barisan kejurulatihan skuad Badak, bekas pemain berusia 49 tahun itu juga setakat ini belum diberi apa-apa peranan dalam Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Jelius ketika dihubungi mengesahkan belum diberi apa-apa peranan sama ada dalam Sabah FC mahupun dalam SAFA yang kini diterajui Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Setakat ini, saya belum dipanggil secara rasmi oleh mana-mana pihak dalam persatuan dan saya andaikan mungkin saya tiada dalam perancangan mereka lagi.

“Tidak apalah, dalam bola sepak semua perkara ini boleh berlaku, cuma saya sedikit sedih kerana dengan apa yang telah saya sumbangkan sebelum ini, saya kini terasa disisihkan,” katanya.

Jelius berkata, setakat ini, beliau masih belum mempunyai sebarang perancangan dan hanya mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Kalau tiada apa-apa tawaran mungkin saya berehat sementara dari bola sepak,” katanya.

Jelius mula menggalas tanggungjawab sebagai pengendali skuad utama Sabah pada 2017 dan ketika itu walaupun hanya sebagai pengendali sementara, beliau berjaya menyelamatkan pasukan berkenaan daripada terjatuh ke divisyen ketiga saingan Liga Malaysia selepas mencatat keputusan kurang memberangsangkan di awal musim.

Pada tahun berikutnya, bekas pemain yang pernah digelar ‘orang besi’ Sabah kerana kekentalannya di barisan pertahanan kemudian berjaya membawa pasukan itu sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia namun mereka dikecewakan oleh Perak.

Jelius kemudian mencipta satu sejarah baharu buat Sabah pada 2019 apabila menamatkan kemarau 23 tahun tanpa kejuaraan dengan memenangi saingan Liga Perdana sekali gus membolehkan mereka beraksi di Liga Super musim lalu.

Bagaimanapun, hasrat beliau untuk terus membimbing pasukan itu musim lalu tidak kesampaian kerana beliau tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro AFC dan hanya menjadi pembantu kepada jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *