51,294 Pelajar SPM, STPM Sabah Mulakan Sesi Persekolahan Bersemuka Esok

KOTA KINABALU, 19 Jan : Seramai 51,294 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai esok.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Mistirine Radin dalam satu kenyataan berkata 33,503 daripadanya adalah calon yang akan menduduki peperiksaan awam SPM, manakala selebihnya STPM.

Mengulas situasi banjir di Sabah, Mistirine berkata 21 sekolah di empat daerah iaitu Beaufort, Kota Kinabalu, Beluran serta Tuaran terjejas kerana dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak minggu lepas.

Datuk Mistirine Radin

Beliau berkata kesemua 4,891 murid dan 433 guru di sekolah terbabit boleh menjalankan PdPR bagi memastikan sesi pembelajaran berjalan seperti biasa mengikut jadual.

Sementara itu di LUMUT, Perak, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata 28,637 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2020 akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka di seluruh Perak esok.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri telah bersiap sedia bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan secara bersemuka itu termasuk daripada aspek keselamatan dan kesihatan.

“Nasihat kerajaan negeri kepada semua warga pendidik supaya memastikan pematuhan pembudayaan norma baharu diikuti dan diperketatkan serta pastikan pelajar mendaftar esok memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan kerap mencuci tangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara City Harbour International School dan Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad di City Harbour International School di sini, yang bertujuan melaksanakan kerjasama strategik bagi menubuhkan Sekolah Rendah Al-Amin di Kampus City Harbour International School di Manjung.

Katanya kerjasama itu dapat mewujudkan satu persekitaran unik merangkumi sayap sekolah antarabangsa dan juga sekolah aliran kebangsaan yang diintegrasikan dengan elemen pendidikan agama Islam secara komprehensif.

Pada majlis itu, Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad diwakili Pengerusinya, Shaharom Md Shariff manakala City Harbour International School diwakili Pengasas dan Pengarah Urusannya N. S. Lal Muhuthan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *