Covid-19: 8 Kes Dikesan Pelajar Masuk Asrama

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun dua hari berturut-turut, dengan kes hari ini sebanyak 393 kes serta dua kluster baharu dilaporkan.

Daripada jumlah itu, lapan kes dikesan dari saringan pelajar masuk asrama.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua kluster baharu hari ini adalah kluster Jalan Mawila, Kota Kinabalu dengan kumulatif 15 kes. Kluster ini dikesan dari saringan rentas negeri pada 13 Jan lalu membabitkan seorang penjawat awam.

Satu kluster lagi adalah kluster Taman Ikan Jinak dikesan di Tuaran dan Kota Belud dengan kumulatif 21 kes positif. Kes indeks bagi kluster ini dikesan dari menantu yang berasal dari Beaufort yang menghadiri hari keluarga pada 2 hingga 3 Jan di Taman Ikan Jinak, Tuaran.

Beliau berkata, daripada 393 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 72 kes, diikuti Lahad Datu (65), Tawau (28), Penampang (27), Tuaran (26), Kinabatangan (25), Keningau (18), Kota Marudu (17), Sandakan (16), Papar (15), Semporna (15), Kunak (11), Putatan (11), Kota Belud (8), Tambunan (8), Kalabakan (7), Ranau (7), Beaufort (6), Nabawan (4),Tongod (2), Pitas (2) dan satu kes di Sipitang, Tenom dan Beluran.

Masidi berkata, daripada 393 kes positif itu, sebanyak 222 kes atau 56.5 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 74 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 36 kes, saringan ladang (Perkeso) 21 kes, saringan pelajar masuk asrama lapan kes dan 32 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 337 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 39,326 kes. Kes kematian di Sabah kekal 301 kes.

Setakat ini, sebanyak 43,644 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,949 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 766 orang di hospital dan 2,185 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 84 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hari ini, sebuah PKRC baharu dibuka iaitu Dewan Belia Kunak dengan kapasiti 40 katil. Maka, bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,769 katil dan peratus penggunaan adalah 43.57 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *