Covid-19: 10 Lagi Kes Positif Dari Saringan Pelajar Masuk Asrama

KOTA KINABALU: Setelah mencatatkan penurunan kes positif dua hari berturut-turut, kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini meningkat kepada 432 kes, dengan satu kematian dan satu kluster baharu.

Daripada jumlah kes baharu itu, 10 kes dikesan dari saringan pelajar masuk asrama.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, satu kematian dilaporkan di Kudat.

Kluster baharu hari ini adalah kluster Jalan Bukit Bendera dengan dua kes baharu dan ia menjadikan bilangan kumulatif sebanyak 18 kes.

Kes indeks bagi kluster ini dikesan pada 5 Jan lalu di Klinik Kesihatan Membakut. Saringan tempat kerja dan kontak rapat berjaya mengesan 17 lagi kes positif merangkumi daerah Kota Kinabalu (13), Beaufort (3) dan Papar (2).

Beliau berkata, daripada 432 kes baharu hari ini, Tawau mencatatkan kes tertinggi dengan 75 kes, diikuti Kota Kinabalu (59), Lahad Datu (48), Keningau (33), Papar (31), Sandakan (29), Kinabatangan (24), Kota Marudu (20), Kudat (20), Kunak (15), Penampang (14), Tuaran (11), Kota Belud (10), Kalabakan (9) dan tujuh kes di Putatan, Ranau dan Nabawan.

Manakala, Beaufort (6), Semporna (3), Telupid (2) dan satu kes di Sipitang dan Beluran.

Hanya lima daerah di Sabah tidak berada dalam zon merah dimana, tiga zon jingga iaitu Nabawan, Kuala Penyu, Beluran serta dua zon kuning iaitu Telupid dan Tongod.

Masidi berkata, daripada 432 kes positif itu, sebanyak 308 kes atau 71.3 peratus dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 62 kes, saringan kluster baharu dan kluster sedia ada 20 kes, saringan ladang (Perkeso) 15 kes, saringan pelajar masuk asrama 10 kes dan 17 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 438 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 39,764 kes. Kes kematian di Sabah kekal 301 kes.

Setakat ini, sebanyak 44,076 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 2,906 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 794 orang di hospital dan 2,112 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 91 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah adalah 6,773 katil dan peratus penggunaan adalah 42.91 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *