Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Tuaran, Papar Dilanda Banjir

KOTA KINABALU: Daerah ini, Putatan dan Penampang merupakan tiga daerah baharu yang dilanda banjir di Sabah akibat hujan lebat yang turun sejak petang semalam.

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat 8 pagi tadi, bilangan mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 176 orang dari 43 keluarga yang dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).

Tujuh PPS itu dibuka di enam daerah iaitu Pitas, Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang,

Turut mengalami banjir adalah Tuaran dan Papar namun, belum ada PPS dibuka di kedua-dua daerah ini.

Setakat pagi ini, sebanyak 147 kampung terjejas banjir di lapan daerah tersebut.

Di Pitas, hanya satu PPS dibuka iaitu Dewan Kampung Kusilat yang menempatkan 43 orang daripada 10 keluarga.

Untuk daerah Beaufort, PPS Dewan DSP Mohd Dun Banir menempatkan enam orang daripada tiga keluarga.

Di Paitan, dua PPS dibuka iaitu Dewan Binsulung dan Dewan Kg Kubambangan yang mana ia menempatkan 73 orang dari 22 keluarga.

Sementara di Kota Kinabalu, PPS dibuka di Dewan Likas yang menempatkan 39 orang daripada enam keluarga. Di Putatan, PPS Dewan Serbaguna PPR Ketiau, Putatan dibuka bagi menempatkan empat orang dari sebuah keluarga dan di Penampang PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang dibuka bagi menempatkan 11 orang dari sebuah keluarga.

Hujan lebat yang turun sejak petang semalam memperlihatkan paras air mula meningkat di Penampang, Tuaran dan Kota Kinabalu.

Setakat 11.15 malam, semalam paras air di Sungai Moyog, Penampang meningkat sehingga 9.15m. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) juga sedang membuat tinjauan di kawasan-kawasan hotspot banjir di daerah ini. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *