Lebih 100 Kenderaan Diarah Patah Balik Dalam Tempoh Tiga Jam Di Tawau

TAWAU, 16 Jan : Lebih 100 kenderaan diarahkan berpatah balik dalam tempoh tiga jam sehingga 11 pagi tadi selepas gagal memberi alasan munasabah ketika ditahan dalam beberapa sekatan jalan raya, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata antara alasan yang diberikan kepada anggota bertugas di sekatan jalan raya termasuk mahu melawat kebun dan ladang tetapi gagal mengemukakan bukti.

“Dianggarkan 100 kenderaan diarah berpatah balik di sekatan jalan raya di Jalan Jambatan Putih manakala di Batu 2 1/2 Jalan Apas juga ada yang diarahkan berpatah balik,” katanya ketika dihubungi.

Polis Tawau melaksanakan sembilan sekatan jalan raya termasuk di Pusat Pemeriksaan Daratan atau Road Check Point (RCP) Kalabakan, dengan kekuatan anggota 163 orang dan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu yang ingkar arahan ketika ditahan dalam sekatan jalan raya.

“Namun setakat pagi tadi pemandu yang diarahkan berpatah balik memberi kerjasama baik.

“Nombor pendaftaran kenderaan yang diarahkan patah balik turut direkodkan bagi tujuan pemantauan sekiranya melakukan  kesalahan sama,” katanya lagi.

Peter dalam pada itu memohon kerjasama semua pihak supaya tidak keluar rumah tanpa tujuan penting dan alasan munasabah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Duduklah rumah, bantu petugas barisan hadapan memutuskan penularan COVID-19 dengan segera,” katanya.

Peter turut mengingatkan orang ramai tindakan kompaun akan dikenakan kepada pihak yang melanggar prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, 22 pasukan pemantau terdiri daripada anggota polis serta pasukan keselamatan lain, sentiasa bergerak bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan penduduk sekitar. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *