PKP: Pelaksanaan Di Sabah Lancar, Ibu Negeri Lengang

Suasana di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu susulan pelaksanaan PKP di Sabah sejak 13 Januari lalu.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bandar raya ini lancar sejak dikuatkuasakan pada 13 Januari lalu.

Tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) bermula hari ini juga antara faktor penyumbang pematuhan PKP berlangsung dengan baik.

Tinjauan BH di pusat bandar mendapati kebanyakan lokasi tumpuan umum termasuk pusat beli-belah, pasar raya, pasar besar dan kawasan perniagaan lengang berbanding sebelum pelaksanaan PKP.

Lalu lintas di semua jalan utama sekitar pusat bandar juga lengang, berbanding kesesakan yang sering berlaku pada hari biasa.

Beberapa pusat beli-belah terkemuka sekitar bandar raya dibuka seperti biasa namun mengehadkan waktu operasi, dengan hanya premis menawarkan perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

Suasana di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu susulan pelaksanaan PKP di Sabah sejak 13 Januari lalu.

Sementara itu, hanya stesen bas bagi destinasi membabitkan Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kepayan, Likas, Kolombong, Sembulan dan Inanam dibenar mengambil serta menghantar menumpang, manakala perkhidmatan bas yang memerlukan rentas daerah tidak dibenarkan beroperasi.

Berkuat kuasa 13 Januari lalu, PKP dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari ini.

Perintah itu turut dilaksanakan di Kelantan dan daerah Sibu, Sarawak bermula hari ini bagi tempoh dua minggu susulan peningkatan kes COVID-19. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *