Pakat Tak Adakan Pilihan Raya, Batalkan Darurat – Shafie

Shafie Apdal berkata, motif perdana menteri menasihatkan Agong mengisytiharkan darurat nampak berunsur politik.

KOTA KINABALU: Perjanjian politik antara semua parti untuk tidak mengadakan pilihan raya umum sehingga krisis kesihatan negara ini reda adalah lebih baik daripada mengisytiharkan darurat, kata presiden Warisan Shafie Apdal hari ini.

Shafie berkata, darurat nampak seperti “bermotifkan politik”. Beliau menyifatkan rasional diberikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat sebagai “tidak boleh diterima”.

“Wujud undang-undang yang cukup untuk menangani pandemik Covid-19. Jika ada keperluan untuk meminda perlembagaan persekutuan bagi mengelak pilihan raya Sarawak atau pilihan raya kecil, kerajaan Perikatan Nasional patut berunding dengan pembangkang untuk melakukannya,” katanya.

Pindaan perlembagaan memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, sedangkan gabungan PN yang memerintah cuma mempunyai majoriti dua kerusi.

Selain itu, katanya, kerajaan juga sepatutnya berunding dengan pembangkang mengenai perundangan bagi menangani pandemik Covid-19.

Katanya, pemimpin politik dari kedua-dua pihak mampu bersetuju untuk tidak mengadakan pilihan raya umum.

Beliau menggesa darurat dibatalkan supaya demokrasi berparlimen dapat dikembalikan secepat mungkin dan pemimpin politik mengadakan rundingan.

Darurat diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Isnin dan ditetapkan sehingga 1 Ogos atau lebih awal jika kes Covid-19 dapat diturunkan.

Parlimen dan semua persidangan dewan undangan negeri digantung.

Muhyiddin pada Isnin berkata, kerajaan memerlukan kuasa tertentu untuk memastikan pandemik dapat dikawal.

Shafie berkata perintah kawalan pergerakan ada dan boleh dilaksanakan, manakala pentadbiran di bawah perintah darurat mungkin membawa kepada penyalahgunaan kuasa atau “disalahgunakan untuk memansuhkan atau mengehadkan hak asasi mengikut perlembagaan serta hak individu di negara ini.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *