Dr Mahathir Dakwa Muhyiddin Yassin Diktator

Dr Mahathir berkata, Muhyiddin melaksanakan darurat kerana terdesak untuk mengekalkan kuasanya.

KUALA LUMPUR : Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang diktator.

Menurut Dr Mahathir, penguatkuasaan darurat itu dibuat bagi membolehkan Perdana Menteri terus berkuasa.

Kata Dr Mahathir, meskipun sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun Muhyiddin tetap memilih untuk melaksanakan darurat kerana terdesak untuk mengekalkan kuasanya.

“Kita mengorbankan demokrasi untuk berikan beliau kuasa penuh… buat apa beliau suka. Beliau dalam erti kata sebegitu adalah seorang diktator.

“Ia sejenis pemerintahan diktator di mana rakyat tidak boleh bantah dan kita tidak mengikut demokrasi dengan menggunakan darurat untuk beri Muhyiddin kuasa penuh,” katanya dalam temu bual bersama stesen radio BFM pada Jumaat.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, tiada keperluan mengisytiharkan darurat kerana Malaysia ada undang-undang tersendiri untuk mengawal pandemik malah keadaan negara ini juga bukanlah di luar kawalan seperti negara lain.

Tegasnya, di negara lain ada yang rakyatnya melakukan protes bagi membantah keputusan kerajaan namun di Malaysia, keadaannya berbeza dan rakyat patuh kepada arahan kerajaan.

“Walaupun Muhyiddin ada kuasa mutlak, beliau tidak melakukan secukupnya untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan pandemik ini.

“Beliau tidak buat apa sangat dalam mentadbir negara. Ekonomi merosot dan rakyat merana akibat tindakan yang dilaksanakan. PKP menjejaskan rakyat dengan hilang pendapatan dan ramai yang tidak ada makanan,” ujarnya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa memperkenankan permohonan Putrajaya untuk mengisytiharkan darurat hingga 1 Ogos 2021.

Pengisytiharan itu menyebabkan semua persidangan Parlimen dan DUN digantung hingga Ogos.

Sehari sebelum itu, kerajaan mengumumkan PKP sekali lagi di enam negeri – Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – dari 13 hingga 26 Januari.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan sementara Perlis dan Sarawak, kekal dalam fasa PKP Pemulihan (PKPP). – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *