Covid-19: 3,211 Kes Baharu, 8 Kematian Hari Ini, Sabah 514 Kes

KUALA LUMPUR: Penularan Covid-19 dalam negara mencatatkan 3,211 kes baharu hari ini dengan merekodkan lapan kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini meningkat kepada 151,066 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 35,253 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan dalam negara pula adalah 3,206 kes.

“Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 889 kes (27.7 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 658 kes (74.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ia diikuti Johor sebanyak 535 kes (16.7 peratus) dan Sabah sebanyak 514 kes (16.0 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merekodkan bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 1,939 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 115,227 kes.

Beliau turut memaklumkan, dengan pertambahan lapan kematian hari ini, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 586 kes.

“Sehingga kini, terdapat 204 kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 87 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *