Air Pasang Besar: Dua Rumah Hampir Roboh, Puluhan Dipindahkan Di Tanjung Aru Baru

Kediaman Nabsah di perkampungan atas air di Tanjung Aru Baru hampir roboh selepas dinaiki air dalam kejadian fenomena air pasang besar.

KOTA KINABALU: Dua buah rumah hampir roboh manakala beberapa lagi dimasuki air berikutan kejadian fenomena air pasang besar di perkampungan atas air di Tanjung Aru Baru di sini malam tadi.

Kejadian yang bermula kira-kira jam 8 malam itu turut mengakibatkan 99 penduduk daripada 17 keluarga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan ditempatkan di balai raya serta surau kampung terbabit. Ada juga yang menumpang di rumah saudara mereka.

Nabsah Darudin.

Seorang penduduk, Nabsah Darudin, 59, yang rumahnya hampir roboh berkata, beliau hanya sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting buat masa ini kerana risau rumahnya akan roboh pada bila-bila masa sekiranya ombak besar melanda.

“Ketika kejadian saya masih bekerja dan hanya dimaklumkan oleh anak saya menerusi panggilan telefon. Apabila saya sampai, keadaan rumah bertambah teruk dan hampir roboh.

“Rumah saya mulai dimasuki air dan mengalami kerosakan sejak semalam (Selasa) tapi ianya bertambah teruk hari ini,” katanya ketika ditemui.

Kejadian fenomena air pasang besar itu bermula sejak Sabtu lalu namun keadaannya bertambah buruk malam tadi sehingga mengakibatkan kebanyakan penduduk terpaksa berjaga hingga subuh demi keselamatan masing-masing.

Fenomena air pasang besar itu turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk di Tanjung Lipat di Likas.

Fenomena itu juga dijangka berlarutan sehingga malam ini.

“Ini malam kedua rumah saya dimasuki air dan hari ini (semalam) kalau mengikut carta (air pasang), yang tertinggi adalah 2.09m.

“Rumah saya juga mengalami sedikit kerosakan kerana air memasuki kawasan ruang tamu serta bilik utama dan buat masa ini, saya bersama keluarga tinggal di rumah saudara kerana risau dengan keselamatan kami,” kata Mohd Yusri Jamrin, 45.

Mohd Yusri Jamrin.

Sementara itu, Bakar Adani, 71, berkata walaupun fenomena air pasang besar itu telah beberapa kali berlaku di kampung berkenaan, namun kali ini adalah antara yang paling teruk sejak puluhan tahun lalu.

“Paling teruk ketika ribut Greg pada 1996 dan hari ini walaupun tidak seteruk waktu itu, ia telah mengakibatkan beberapa rumah mengalami kerosakan,” katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu Bonnie Madisun ketika dihubungi berkata tujuh anggota yang diketuai Safaruddin Rusline telah ditugaskan untuk memantau keadaan di kampung itu.

Dia berkata, pihaknya juga telah menasihatkan penduduk yang rumahnya berisiko dinaiki air supaya berpindah sementara ke balai raya dan surau kampung berkenaan.

Antara rumah yang terjeas akibat air pasang besar.

Terdahulu, fenomena air pasang besar itu turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk di Tanjung Lipat di Likas. Kejadian itu menjadi tular di media sosial berikutan keadaan ombak yang melanda hingga ke kawasan taman awam di situ. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *