Polis Sabah Laksana 50 Sekatan Jalanraya Sepanjang PKP

KOTA KINABALU: Bagi memastikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi oleh orang ramai, Polis Sabah melaksanakan 50 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri bermula tengah malam tadi.

Ketua Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sabah, Khalid Saion berkata, SJR yang dibuat itu membabitkan seramai kira-kira 4,000 petugas termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

”SJR ini dibuat di beberapa laluan strategik iaitu di laluan keluar masuk antara daerah di Sabah.

”Selain daripada SJR yang dilaksanakan 24 jam, pihak kami yang terdiri daripada 250 pasukan pemantau juga akan membuat pemeriksaan mengejut di beberapa lokasi terpilih bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui dalam SJR di Jalan Malawa, di sini, tengah malam tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji.

Khalid berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana individu yang didapati melanggari PKP.

”Saya juga menasihatkan mana-mana pekerja atau individu yang perlu melakukan rentas daerah supaya mengemukakan surat daripada majikan atau surat kebenaran polis ketika melalui mana-mana SJR,” katanya.

Sementara itu, tinjauan terhadap pelaksanaan SJR di Jalan Malawa, dekat sini, tengah malam tadi, mendapati terdapat kenderaan yang bergerak walaupun PKP mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam.

Bagaimanapun, kebanyakan pengguna kenderaan terbabit tidak diambil tindakan kerana masing-masing menunjukkan surat daripada majikan selain surat kebenaran daripada pihak polis.

Tinjauan juga mendapati beberapa pengguna jalan raya turut dibenarkan melepasi SJR selepas mereka memberi alasan munasabah kepada pihak polis.

Terdahulu semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, anggotanya akan menggunakan “budi bicara” untuk membenarkan mereka yang terperangkap di kampung halaman pulang ke rumah masing-masing pada tiga hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *