PKP: Bantuan Kepada Golongan Terjejas Akan Diumum – Masidi

Datuk Seri Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mengumumkan bantuan kepada golongan terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah dalam masa terdekat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, isu bantuan ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri petang tadi dan Ketua Menteri akan membuat pengumuman bila tiba masanya.

Beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk memberi bantuan kepada kumpulan B40 dan kategori lain yang terjejas.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kerajaan akan mempertimbangkan sekiranya terdapat keperluan untuk membenarkan pergerakan melebihi radius 10km di Sabah.

Namun, buat masa ini berikan ruang kepada pasukan PDRM untuk melaksana tugas seperti yang telah diputuskan.

“Kita baru melaksanakan (PKP) hari ini, jadi buat sementara waktu biar polis melaksana tugas seperti diputuskan. Kalau ada perkara yang timbul, kita akan cuba pertimbangkan dan kaji,” katanya ketika ditanya mengenai cadangan melonggarkan pergerakan kepada lebih 10km di Sabah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 di Sabah.

Masidi berkata, soal 10km radius bukan sesuatu yang diambil begitu sahaja, beberapa kajian telah dibuat. Untuk mereka yang perlu membuat perjalanan penting, boleh mendapatkan kebenaran polis untuk merentas daerah.

Bagaimanapun, bagi kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, ketiga-tiga daerah ini diletakkan sebagai satu kawasan jadi, tiada sekatan perjalanan dalam tiga kawasan ini kerana ia dianggap sebagai satu daerah.

Petang tadi, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mencadangkan untuk membenarkan pergerakan dalam radius lebih 10km sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kelonggaran tersebut perlu dengan mengambil kira daerah di Sabah yang agak besar dan kawasan pedalaman perlu bergerak merentas daerah melebihi 10km bagi membeli barangan keperluan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *