PKP 2.0: Pengangkutan Awam Di Sabah Hanya Dibenarkan Dalam Daerah Sahaja

SANDAKAN: Hanya perkhidmatan pengangkutan awam dalam daerah sama dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sabah.

Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Chin Kim Hiung berkata, terdapat kekeliruan dalam kalangan pengusaha pengangkutan awam berhubung prosedur operasi standard (SOP) berkenaan.

Menurutnya, perkhidmatan pengangkutan awam dalam daerah sama dibenarkan beroperasi dari 5 pagi hingga 9 malam dengan pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan itu serta wajib memakai pelitup muka.

“Kapasiti untuk perkhidmatan bas henti-henti dan bas sekolah dalam daerah pula hanya 50 peratus daripada had penumpang dibenarkan.

“Manakala untuk perkhidmatan teksi serta e-hailing ialah maksimum dua penumpang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan pengangkutan awam merentas daerah seperti bas ekspres tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP.

Menurutnya, semua pengusaha pengangkutan awam diingatkan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan semasa beroperasi untuk sama-sama mengekang penularan wabak Covid-19 di Sabah. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *