COVID-19: 22 Daerah Di Sabah Kini Zon Merah

KOTA KINABALU, 12 Jan : Situasi COVID-19 di Sabah semakin membimbangkan apabila 22 daripada 27 daerah di negeri itu kini dikategorikan sebagai zon merah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata daripada baki lima lagi kawasan, dua daerah iaitu Beluran dan Kuala Penyu dikategorikan sebagai zon jingga manakala tiga dalam zon kuning iaitu Nabawan, Telupid dan Tongod.

Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata Kota Kinabalu adalah antara lima daerah merekodkan kes baharu tertinggi hari ini dengan 63 kes, diikuti Sandakan (60); Lahad Datu (41); Keningau (36); dan Penampang 34 kes.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata Sabah mencatatkan sebanyak 409 kes baharu positif COVID-19 pada hari ini, meningkat 35 kes berbanding 374 kes semalam.

“Sebanyak 255 kes atau 62.3 peratus daripada jumlah kes baharu itu berpunca daripada saringan kontak rapat; saringan bergejala (87 kes); saringan rentas negeri (8); saringan kluster sedia ada (25); dan lain-lain kategori (34 ),” katanya dalam kenyataan.

Masidi berkata jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Sabah kini sebanyak 41,449 kes, manakala jumlah kumulatif pesakit sembuh seramai 37,658 orang.

“Sejumlah 2,822 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 763 di hospital dan 2,059 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC). Seramai 68 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi dengan 20 orang memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *