PKP 2.0: Taska, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Dibenar Beroperasi

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak di Sabah beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok sehingga 26 Jan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, itu antara sektor perkhidmatan yang dibenarkan sepanjang pelaksanaan PKP selama 14 hari.

Turut dibenarkan beroperasi adalah operasi pejabat kerajaan, agensi, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dengan kapasiti kehadiran 30 peratus bagi kumpulan pengurusan dan profesional serta kehadiran kumpulan sokongan tidak melebihi 50 peratus.

Katanya, aktiviti di bawah sektor pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi dan rangkaiannya dibenarkan beroperasi mengikut senarai di bawah perkhidmatan perlu (essential services).

Kapasiti kehadiran adalah sama dengan kapasiti kehadiran pejabat kerajaan. Manakala, waktu operasi sektor-sektor ini adalah 6 pagi hingga 8 malam.

Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP)secara terperinci akan disediakan oleh pihak berkuasa negeri.

Disamping itu, kerajaan juga membenarkan aktiviti di bawah sektor perkhidmatan ikhtisas dan professional serta rangkaiannya.

Ia termasuk perkhidmatan oleh jurutera, peguam, arkitek, akauntan, perunding kewangan, jurunilai, juruukur bahan, juruukur tanah, ahli farmasi, kaunselor, ahli geologi, pakar diet, doktor gigi, juru fisioterapi, optometris, odiologist, veterinar, doktor perubatan dan doktor pakar dan lain-lain perkhidmatan ikhtisas dan profesional yang berdaftar dengan badan professional masing-masing.

Semua perkhidmatan ikhtisas dan professional hendaklah mematuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *