Muhyiddin Hanya Ada Dua Pilihan, Kata Shafie

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU : Lakukan gencatan politik atau umum pilihan raya. Itu cadangan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kedudukannya tidak kukuh susulan krisis politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

Menurutnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan penyingkiran Menteri Besar Perak pada 4 Disember lalu melalui tindakan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) menunjukkan bahawa hubungan antara UMNO dan Bersatu sangat rapuh.

“Semakin terbukti bahawa UMNO dan Bersatu tidak akan bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai satu pasukan,” katanya ketika berucap pada forum yang dianjurkan Institut Kaji Selidik Asia Tenggara (ISEAS) secara maya pada Jumaat.

Mohd Shafie berkata, Muhyiddin mempunyai dua pilihan, mewujudkan ‘gencatan senjata’ bersama UMNO dan pihak pembangkang untuk memberi fokus kepada mentadbir negara dalam tempoh koronavirus (Covid-19).

“Melalui senario ini, tidak mungkin pilihan raya akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Pilihan kedua adalah mengumumkan pilihan raya serentak dengan PRN Sarawak antara Jun dan Ogos. Ini bermaksud semua parti akan aktif berpolitik pada bulan-bulan seterusnya,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, politik Malaysia perlu ditetapkan semula pada 2021 dan masa hadapan.

“Ekonomi Malaysia telah terbantut sejak krisis kewangan 1998, kerana dihalang oleh politik kotor malah lebih teruk apabila institusi dalam negara kini tergugat.

“Naratif baharu Malaysia diperlukan dalam tiga tiang utama negara iaitu politik, ekonomi dan sosial, daripada pemerintahan dan akauntabiliti, pendidikan, teknologi, kesihatan dan mobiliti sosial.

“Tiada ruang untuk politik agama dan perkauman, UNITY perlu menjadi asas kepada reformasi yang perlu dilaksanakan melalui demokrasi yang perlu diwakili semua pihak bertanggungjawab, tua dan muda, bandar dan luar bandar, liberal dan konservatif, dengan sistem pentadbiran berasaskan nilai yang melangkaui agama dan bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, perlu ada gerakan baharu untuk mengisi kekosongan yang disenaraikan.

“Kita perlu berganjak di luar politik peribadi antara Tun Dr Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita perlu menggerakkan satu gerakan melibatkan semua rakyat Malaysia menentang orang lama dan golongan elit yang menguasi parti-parti politik untuk memberikan ruang kepada sesiapa sahaja bersuara serta mengembangkan potensi masing-masing,” katanya.

Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu menentukan masa depan sendiri kerana telah melalui tempoh sukar tetapi berbaloi untuk keluar daripada idea lama kepada idea baharu dan segar untuk membina negara Malaysia bagi berdepan dengan era pasca 2020. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *