Tolak Tepi Soal Politik Untuk Bangunkan Sabah

Datuk Seri Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengajak rakyat dan pemimpin di negeri ini supaya mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan negeri.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tumpuan harus diberikan terhadap pelaksanaan program pembangunan dan membantu rakyat.

“Kita ketepikan cerita politik, kerajaan hari ini lebih melihat ke hadapan untuk membangunkan negeri. Setiap pemimpin mempunyai aspirasi yang sama untuk memajukan negeri ini.

“Sebagai pemimpin dalam kerajaan, saya mengamalkan dasar pintu terbuka untuk mendengar segala pandangan dan cadangan positif yang boleh membawa kebaikan kepada negeri dan rakyat,” katanya dalam majlis makan malam bersama bekas pemimpin Pemuda UMNO negeri pada 1991 di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, turut mengajak rakan seperjuangan beliau dalam Pemuda UMNO ketika awal kemasukan parti itu ke Sabah untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri.

Bung Moktar berkata, sokongan pemimpin terdahulu penting dalam usaha kerajaan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjayakan slogan ‘Sabah Maju Jaya’ yang dijadikan pegangan kerajaan negeri ke arah memajukan Sabah.

“Sekarang masa untuk kita sama-sama membina negeri. Kerajaan ada hala tuju yang jelas ke arah itu dan berusaha menunaikan manifesto GRS yang dibuat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, rakan seperjuangan dalam kepemimpinan Pemuda UMNO sebelum ini adalah pemimpin terdekat akar umbi merangkumi golongan profesional, ahli perniagaan dan bekas wakil rakyat.

Katanya, mereka tentu lebih memahami aspirasi rakyat yang mengharapkan pembelaan dari segi pembangunan dan kesejahteraan hidup.

“Jika semua rakyat bersatu termasuk rakan-rakan dalam kepemimpinan Pemuda UMNO sebelum ini dan mengetepikan fahaman politik masing-masing, masa depan negeri boleh diubah.

“Kerajaan mengalu-alukan mereka memberi sumbangan menerusi kepakaran dalam bentuk idea, cadangan dan teguran,” katanya.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata sudah tiba masanya untuk semua pihak berganding bahu memajukan Sabah khususnya dari segi ekonomi dan kesejahteraan rakyat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *