GRS Sudah Laksana Sebahagian Akujanji Sepanjang 100 Hari Mentadbir Sabah

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Mohd Noor. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melaksanakan beberapa perkara daripada sembilan akujanji yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) September lalu.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, dalam kenyataannya sempena 100 hari pentadbiran GRS, berkata kerajaan yang diketuainya komited untuk melaksanakan baki akujanji yang memerlukan penyelesaian jangka panjang secepat mungkin.

Katanya, sembilan perkara dalam akujanji itu ialah hak negeri, infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, kesihatan, kemakmuran, pendidikan dan sumber manusia, keselamatan dan belia serta pembangunan wanita.

“Kerajaan GRS akan terus memberi keutamaan untuk menuntut hak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan.

“Selain jawatankuasa kerajaan kepada kerajaan (G to G) berkaitan MA63, saya juga sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara ini. Saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagi perkara berkaitan infrastruktur, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan GRS memperuntukkan RM1.6 bilion atau kira-kira 30 peratus daripada belanjawan Sabah tahun ini untuk menambah baik infrastruktur dan penyelenggaraan.

Katanya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut melihat usaha mempercepat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah termasuk menerusi kaedah pembiayaan alternatif.

“Bagi memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat, kerajaan GRS bercadang memperkenalkan beberapa program untuk melengkapkan perkhidmatan awam dengan keupayaan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

“Program paling penting ialah pendigitalan sistem kerajaan dan peningkatan pelaburan sumber manusia dalam perkhidmatan awam. Ini membolehkan kerajaan memberikan khidmat lebih baik dan berkesan kepada rakyat.

“Saya ada berjanji dalam beberapa acara dan menerangkan perkara ini dalam ucapan belanjawan saya bahawa keutamaan kerajaan GRS adalah menghidupkan semula dan mengembangkan ekonomi kita.

“Kerajaan GRS juga akan terus membantu usahawan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *