Tidak Suka Konfrontasi, Tunai Janji Walau Berdepan Cabaran Getir – Hajiji

KOTA KINABALU, 5 Jan : Esok genaplah 100 hari Datuk Hajiji Noor menerajui pentadbiran kerajaan negeri Sabah sebagai Ketua Menteri ke-16 dengan menghadapi pelbagai cabaran terutama pandemik COVID-19.

Di sebalik pelbagai cabaran getir dihadapi dalam tempoh 100 hari akibat tempias pandemik COVID-19, Hajiji yang mengangkat sumpah jawatan pada 29 Sept tahun lepas, menegaskan janji kepada rakyat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah harus ditunaikan oleh  kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata ketika PRN Sabah baru-baru ini, GRS telah menggariskan aku janji dengan sembilan teras utama iaitu hak Sabah, infrastruktur, ekonomi, pekerjaan, perkhidmatan awam, kesihatan dan kesejahteraan, pendidikan dan modal insan, keselamatan, serta pembangunan belia dan wanita.

“Dalam 100 hari jadi kerajaan, perancangan berpandukan aku janji tersebut telah kita rangka dan sedang dilaksana, tetapi masalah kita hadapi bila bentuk kerajaan baharu ini termasuk COVID-19 telah perlahankan pelaksanaan program dirancang.

“Bagaimanapun, aku janji dan program yang kita rangka kita akan laksana sebaik-baiknya setelah COVID-19 reda. Kerajaan GRS sebenarnya telah melaksanakan sebahagian daripada sembilan teras utama itu dan komited untuk melaksanakannya secepat yang mungkin,” katanya dalam temu bual dengan Bernama dan RTM.

Dalam merealisasikan perkara yang dijanjikan kepada rakyat itu, Hajiji berkata hubungan baik kerajaan negeri dan persekutuan  telah banyak membantu menyelesaikan pelbagai masalah, malah kemesraan itu berjaya diterjemahkan kepada pelbagai keuntungan dinikmati negeri serta rakyat sendiri.

Contohnya mendapatkan kutipan cukai jualan lima peratus daripada Petronas yang mana jumlah itu dapat membantu dalam usaha membangunkan rakyat dan negeri Sabah, kata Hajiji.

“Kalau mahu maju dan pastikan bahawa rakyat kita mesti maju ke depan, kita kena bekerjasama dengan kerajaan persekutuan. Kerajaan persekutuan itu dibentuk oleh negeri Sabah, rakyat Sabah, pemimpin Sabah dan pegawai kerajaan daripada Sabah juga terlibat dalam kerajaan persekutuan.

“Kita memerlukan bantuan kerajaan persekutuan, saya tidak suka berkonfrontasi, kita lakukan secara berhemah, bermesyuarat untuk mendapatkan hak kita… sebagai rakyat Sabah kita berhak dapat pembelaan dan apa sepatut kita dapat kerajaan persekutuan mesti ambil perhatian,” katanya.

Beliau berkata hak Sabah itu telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963  dan kerajaan negeri akan memberi keutamaan terhadap mendapatkan hak negeri itu, antaranya  penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada negeri.

Hajiji berkata satu lagi fokus penting kerajaan negeri ialah membangunkan infrastruktur dan sistem penyelenggaraan kemudahan awam Sabah yang mana kerajaan GRS memperuntukkan RM1.6 bilion daripada RM4.3 bilion Belanjawan Sabah 2021 yang dibentang  pada 18 Dis tahun lepas.

Beliau berkata ketika membahaskan belanjawan itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan Sabah sedang mencari jalan mempercepatkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang penting untuk Sabah termasuk cara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Katanya kerajaan GRS pada masa ini juga sedang menekankan kepentingan untuk menghidupkan dan membangunkan semula ekonomi negeri yang terjejas oleh COVID-19, antaranya dengan membantu usahawan terjejas.

“Saya telah memulakan penyusunan rancangan lima tahun pada 8 Dis lepas, pembentukan Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Invest Sabah Bhd. Saya juga telah mengarahkan pembinaan model ekonomi baharu Sabah yang akan memberikan kestabilan pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga memperkenalkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 bagi merancakkan semula pembangunan negeri ini yang antara lain memberi fokus menangani isu kesihatan awam dan juga merangka strategi merangsang pembangunan negeri.

Katanya yang penting buat kerajaan GRS ialah membentuk persekitaran ekonomi dan perniagaan kondusif bagi membolehkan rakyat memperoleh pekerjaan dan membangunkan perniagaan yang mana persekitaran ini penting bagi membentuk sebuah ekonomi negeri mampan dalam jangka masa panjang.

“Perpaduan dan sokongan dalam kalangan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang adalah penting untuk kita mencapai hasrat ini. Saya akan terus menjadi seorang ketua menteri untuk memberi khidmat kepada seluruh rakyat Sabah tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *