Sabah Sasar Tanam 36 Juta Pokok Dalam Tempoh Lima Tahun – Ketua Menteri

KOTA KINABALU, 5 Jan : Kerajaan negeri Sabah menyasarkan untuk menanam 36 juta pokok dalam tempoh lima tahun, sebagai usaha memulihara dan menghijaukan kembali kawasan yang diteroka di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata melalui inisiatif sempena Kempen Penanaman 100 juta itu, ia membabitkan lima kategori termasuklah ladang hutan, restorasi hutan, pembangunan ladang getah, pokok buah-buahan dan tanaman mengaya dalam hutan.

“Khazanah hutan yang menghijau bukan sahaja memberi kebaikan kepada kesihatan, tetapi membantu dalam pembangunan ekonomi negara. Ini sejajar dengan Sabah sebagai negeri yang menawarkan destinasi pelancongan, berasaskan flora dan fauna.

“Sumber hutan yang banyak juga sudah pasti akan membangunkan industri berasaskan kayu seperti negeri ini. Perkembangan ekonomi berasaskan sektor pelancongan dan industri kayu, pastinya meningkatkan keupayaan kerajaan negeri menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat, serta peluang pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menanam pokok Merbau di perkarangan Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya, bagi memulakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.

Hajiji berkata inisiatif penanaman pokok, pasti dapat membantu kerajaan dalam usaha pengurusan hutan secara berkekalan di negeri ini dan diharap kempen penanaman pokok itu dapat menaikkan semangat rakyat, dan menyemarakkan usaha menanam pokok khususnya tanah milik persendirian.

Beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa menyokong usaha positif bagi memastikan khazanah hutan negeri terus kekal, terpelihara dan dapat dimanfaatkan sebaiknya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *