PKPD Di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud Bermula Esok

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud di Sabah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di kawasan berkenaan bermula esok sehingga 18 Januari depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) diberi taklimat mengenai peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Sehingga 31 Disember, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 207 saringan dan 24 kes positif dikesan.

“PKPD dilaksanakan bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan serta bagi menyekat penularan jangkitan Covid-19 di dalam komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan ditamatkan hari ini.

Katanya, sehingga kini, KKM selesai melaksanakan 737 ujian saringan dan secara kumulatif sebanyak 281 kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM mengesahkan kes aktif di pusat tahanan ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Pusat Koreksional Jasin dan Kuarters Kakitangan seperti dijadualkan,” katanya.

Dalam pada itu, sehingga semalam PDRM menahan 466 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan sebanyak 187, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (110), tidak memakai pelitup muka (90), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (62) dan lain-lain (17). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *