Masukkan Pesta Kaamatan Dalam Cuti-Cuti Malaysia Langkah Terbaik – Jafry

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin

KOTA KINABALU: Saranan untuk memasukkan cuti Pesta Kaamatan dan Gawai dalam perancangan Cuti-Cuti Malaysia langkah terbaik dalam memelihara kebudayaan dan adat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya menyambut baik saranan berkenaan kerana ia mampu menarik pelancong untuk melihat sendiri keunikan etnik dan budaya di Sabah.

Beliau yakin, usaha itu juga mampu memelihara kebudayaan  dan adat agar kekal sehingga ke generasi masa hadapan.

Katanya, ia sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam menangani pasca COVID-19 khususnya dalam industri pelancongan.

“Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut masyarakat Kadazandusun Murut di Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

“Pelbagai acara kebudayaan diadakan termasuk pertandingan nyanyian yang dipanggil Sugandoi, ratu cantik atau Unduk Ngadau dan persembahan kesenian serta kraftangan.

“Saya yakin Kaamatan ini bukan sekadar pesta budaya, tetapi juga menjadi produk penting dalam menarik pelancong dari dalam mahu pun luar negara sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, selain menjadi produk pelancongan, perayaan itu juga menjadi wadah dalam memupuk perpaduan bukan saja bagi masyarakat di Sabah tetapi juga rakyat di seluruh Malaysia. 

Terdahulu, Menteri pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri  menerima saranan umum agar cuti Pesta Kaamatan dan Gawai dimasukkan dalam perancangan cuti dalam Malaysia.

Langkah itu bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia khususnya dari Semenanjung untuk datang menyaksikan sendiri bagaimana budaya Sabah dan Sarawak menerusi sambutan perayaan itu. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *