Mayat Lelaki Berjaket ‘HENGYI’ Ditemukan Terapung

Mayat lelaki lengkap berpakaian ditemui terapung di laut berhampiran Pulau Rusukan Kecil, Labuan. Foto Ihsan PDRM

LABUAN: Mayat lelaki lengkap berpakaian dan sudah kembung ditemukan terapung di laut berhampiran Pulau Rusukan Kecil dekat sini, pagi hari ini.

Mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan orang awam sebelum melaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan pada 10.34 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Labuan Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Ghani berkata, pegawai penyiasat IPD Labuan dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan didapati lelaki berkenaan memakai jaket bertulis ‘HENGYI’,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ibrahim berkata, pemeriksaan awal terhadap mayat tidak menemui sebarang kecederaan fizikal selain tiada sebarang pengenalan diri.

Katanya, mayat itu seterusnya dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Setakat ini, pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan mana-mana individu.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan mana-mana individu atau ahli keluarga supaya segera tampil ke Balai Polis Labuan untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohd Ibrahim berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *