COVID-19: Kinabatangan, Tambunan Bertukar Zon Merah, Tongod Kembali Hijau

KOTA KINABALU: Kinabatangan dan Tambunan bertukar menjadi zon merah, hari ini apabila merekodkan lebih 40 kes aktif COVID-19 susulan pertambahan jangkitan baharu.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan, 14 daerah kini berada dalam kategori zon merah di Sabah berbanding hanya 12, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam satu kenyataan media, berkata Kinabatangan semalam mencatatkan sebanyak 14 kes baharu manakala Tambunan pula sebanyak 25 kes baharu.

Walau bagaimanapun, daerah Tongod pula telah bertukar daripada zon kuning menjadi zon hijau, hari ini.

“Jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah hari ini mencatatkan sebanyak 299 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 37,040 kes. Tiada kematian direkodkan pada hari ini,” katanya.

Daerah Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes positif baharu tertinggi sebanyak 64 kes kemudian diikuti Penampang (44), Lahad Datu (38), Tawau (21), Sandakan (20); Kota Belud (15) Papar (13) dan Tuaran (7).

Selain itu, daerah Pitas sebanyak enam kes, Kunak (6), Beaufort (4), Keningau (3), Sipitang (2), Kudat (2); manakala Semporna, Kalabakan, Tenom dan Telupid masing-masing mencatatkan sebanyak satu kes baharu.

Sementara itu, selain Tongod, daerah Ranau, Kuala Penyu, Kota Marudu, Beluran dan Nabawan tidak mencatatkan sebarang kes baharu setakat ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *