COVID-19: Daerah Kunak Kini Zon Merah

KOTA KINABALU: Peningkatan kes di Kunak menjadikan daerah itu kini berada dalam zon merah.

Dengan tambahan tiga kes positif baharu di Kunak hari ini, ia menyebabkan daerah terbabit menyertai 14 daerah lain dalam zon merah.

Untuk hari ini, kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 254 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang kes kematian dan kluster baharu dilaporkan hari ini.

Daripada 254 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi dengan 50 kes, diikuti Lahad Datu (47), Tawau (43), Penampang (22), Sandakan (17), Keningau (9), Kota Belud (8), Papar (8), Kudat (7) dan enam kes di Tuaran, Putatan dan Kalabakan.

Manakala, Sipitang (5), Kota Marudu (5), Kinabatangan (3), Kunak (3) dan dua kes di Tambunan, Semporna dan Kuala Penyu.

Sementara satu kes di Pitas, Ranau dan Beluran.

Hari ini, Sipitang berubah dari zon kuning kepada zon jingga.

Masidi berkata, daripada 254 kes positif itu, sebanyak 165 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 43 kes, saringan kluster-kluster sedia ada sembilan kes, saringan komuniti dua kes dan 35 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 239 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 34,873 kes. Bilangan kumulatif kematian di Sabah kekal 264 kes.

Setakat ini, sebanyak 37,294 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,724 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 633 orang di hospital dan 1,091 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 59 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *