COVID-19: Kes Positif Di Sabah Kembali Meningkat

Antara Pelancong tempatan merakam foto berlatarkan Gunung Kinabalu di Pekan Kundasang, yang kembali dikunjungi pelancong tempatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

KOTA KINABALU: Sabah terus merekodkan peningkatan ketara kes positif COVID-19 sejak kelmarin dengan jumlah terbaharu sebanyak 280 kes semalam.

Jumlah itu membabitkan peningkatan sebanyak 50 kes, berbanding 230 kes kelmarin selepas meningkat 73 kes daripada 157 kes, yang terendah setakat ini pada Isnin lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata peningkatan itu menjadikan kumulatif kepada 36,741 kes.

Katanya, kes kematian turut mencatat peningkatan semalam dengan sebanyak empat pesakit COVID-19 dilaporkan meninggal dunia, masing-masing di Sandakan, Kota Kinabalu, Keningau dan Lahad Datu.

Beliau berkata, seramai 217 pesakit dibenarkan keluar hospital semalam, menjadikan kumulatif sembuh seramai 34,470 orang.

“Sejumlah 1,591 pesakit masih menerima rawatan, iaitu 627 orang di hospital dan 964 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 61 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 15 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Sementara itu, Masidi berkata, daerah dalam zon merah meningkat semula kepada 12 semalam, berbanding 11 daerah kelmarin selepas Keningau kembali dalam zon itu dengan mencatat 29 kes baharu, berbanding tiga kes kelmarin.

Katanya, kes tertinggi dalam zon merah dicatat di Lahad Datu dan Penampang, masing-masing dengan 51 kes, diikuti Kota Kinabalu (41), Tawau (22), Sandakan (18), Papar (17), Ranau (11), Kota Belud (sembilan), Putatan (tujuh), Tuaran (lima) dan Semporna (empat).

“Bagi zon jingga, enam daerah berada dalam kategori itu hari ini (semalam) selepas Beluran bertukar ke zon kuning berbanding jingga semalam (kelmarin), manakala Tambunan bertukar ke zon jingga daripada kuning selepas mencatat tiga kes baharu.

“Lima daerah lain dalam zon jingga ialah Kalabakan (dua kes), Kinabatangan, Tenom dan Kudat masing-masing satu kes baharu serta Kunak dengan tiada kes baharu direkodkan,” katanya.

Sementara itu, lapan daerah berada dalam zon kuning dengan empat mencatat kes baharu iaitu Sipitang (tiga kes), Pitas (dua) dan masing-masing satu kes di Kuala Penyu serta Kota Marudu.

Empat daerah iaitu Beluran, Telupid, Beaufort dan Tongod tidak mencatat sebarang kes baharu, manakala Nabawan kekal sebagai satu-satunya daerah yang masih bertahan dalam zon hijau tanpa sebarang kes aktif COVID-19.

Masidi berkata, peningkatan kes semalam kebanyakannya berpunca daripada saringan kontak rapat, iaitu sebanyak 175 kes atau 62.5 peratus daripada keseluruhan kes positif, diikuti saringan bergejala sebanyak 63 kes atau 22.5 peratus. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *