Covid-19: Sabah Catat Empat Kematian Baharu, Keningau Kembali Zon Merah

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 280 kes, dengan empat lagi kematian dilaporkan.

Dengan empat kematian baharu ini, kes kematian di negeri ini meningkat kepada 264 kes. Keadaan ini memperlihatkan lebih separuh kematian akibat Covid-19  di Malaysia adalah di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, kematian hari ini masing-masing dilaporkan di Lahad Datu, Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan.

Daripada 280 kes baharu hari ini, Lahad Datu dan Penampang mencatatkan kes tertinggi dengan 51 kes, diikuti Kota Kinabalu (41), Keningau (29), Tawau (22), Sandakan (18), Papar (17), Ranau (11), Kota Belud (9), Putatan (7) Tuaran (5), Semporna (4), Tambunan (3), Sipitang (3) dan dua kes di Kalabakan dan Pitas.

Manakala, satu kes masing-masing di Kinabatangan, Tenom, Kudat, Kuala Penyu dan Kota Marudu.

Hari ini Keningau berubah dari zon jingga kepada zon merah, Tambunan bertukar dari zon kuning kepada zon jingga manakala, Beluran bertukar dari zon jingga kepada zon kuning.

Masidi berkata, daripada 280 kes positif itu, sebanyak 175 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 63 kes, saringan kluster-kluster sedia ada 13 kes, saringan komuniti satu kes dan 28 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 217 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 34,470 kes. Dengan empat kematian hari ini, bilangan kumulatif kematian di Sabah adalah 264 kes.

Setakat ini, sebanyak 36,741 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,591 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 627 orang di hospital dan 964 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 61 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 15 orang memerlukan alat bantuan pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *