Lebih RM37 Juta Bantuan Musim Tengkujuh Untuk Pekebun Kecil Getah Sabah

KOTA KINABALU, 29 Dis : Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pemberian Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) lebih RM37 juta kepada 61,762 pekebun kecil getah negeri ini, yang terkesan akibat cuaca hujan akhir tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah itu berkata, menerusi BMT setiap pekebun kecil itu akan menerima RM600 dan agihan telah dimulakan pada Rabu lepas.

“Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab, mengagih-agihkan bantuan ini telah mula membuat pembayaran secara pindahan wang elektronik,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata cuaca hujan terutamanya pada akhir tahun, menjejaskan aktiviti penorehan getah seterusnya menjejaskan sumber pendapatan pekebun, selain harga komoditi getah global sehingga kini masih lagi berada pada paras yang rendah.

Katanya pekebun kecil boleh membuat semakan di portal LIGS melalui pautan e-BMT2020 di www.ligs.gov.my. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *