KWSP Mampu Beri Dividen Lebih 5%

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka berupaya memberikan dividen pada kadar antara lima hingga enam peratus bagi 2020, berdasarkan prestasi pelaburannya dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, kata penganalisis.

Profesor Adjung Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Selangor (UNISEL), Dr Zaharuddin Abdul Rahman, berkata beliau menjangkakan dana persaraan pekerja swasta itu mampu mengagihkan dividen melebihi lima peratus, kadar yang dianggap sebagai amat baik dalam persekitaran semasa.

Beliau berkata, jika dilihat pada prestasi pendapatan hasil pelaburan KWSP pada 2019, RM41.68 bilion direkodkan bagi simpanan konvensional dan memberikan dividen sebanyak 5.45 peratus manakala pendapatan simpanan shariah sebanyak RM4.14 bilion dengan dividen lima peratus.

“Jumlah keseluruhan pendapatan tahun lalu adalah RM45.82 bilion. Bagi 2020 pula, pendapatan dalam tempoh sembilan bulan sudah mencecah RM36.3 bilion.

“Jika dijadikan ukuran pendapatan suku ketiga dan jangkaan KWSP mampu mengekalkan momentum pendapatan yang hampir sama atau lebih lagi pada suku keempat, jumlah keseluruhan pendapatan boleh mencecah RM50 bilion.

“Andai momentum ini dapat dikekalkan, KWSP dijangka mampu memberikan dividen melebihi lima peratus tahun ini dan lebih baik berbanding Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang memberikan dividen 4.25 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, pandemik COVID-19 juga mampu menjadi kelebihan kepada pelaburan KWSP sekali gus mengukuhkan keuntungannya.

Beliau berkata, KWSP mempunyai banyak pegangan saham dalam dan luar negara, yang jika pelaburannya dibuat pada masa yang tepat dengan strategi yang betul, hasilnya dijangka boleh memberikan pulangan yang lebih besar.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata dividen melebihi lima peratus tidak mustahil untuk dicapai tahun ini kerana KWSP hanya memerlukan sejumlah RM45 bilion lagi untuk memberikan dividen sedemikian.

Malah, tegasnya berdasarkan laporan prestasi pelaburan suku ketiga KWSP yang diumumkan baru-baru ini, jumlah itu sudah pun dicapai secara kumulatif.

“Justeru, suku keempat akan menentukan sama ada KWSP boleh mencapai prestasi yang lebih baik dan memberikan dividen kepada pencarum melebihi lima peratus.

“Prestasi pelaburan KWSP cukup memberangsangkan walaupun kemelesatan ekonomi dunia yang berlaku ketika ini.

“Pasaran ekuiti global dan Malaysia terus memberikan impak positif kesan daripada dasar monetari dan fiskal yang menyuntik pelbagai inisiatif bagi menangani pandemik COVID-19,” katanya.

Aimi Zulhazmi menjelaskan, Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bersih dua kali ganda pada suku ketiga 2020 berbanding tempoh sama tahun ini dan suku keempat ini juga terus menunjukkan prestasi stabil.

Namun, katanya penurunan kadar faedah simpanan tetap ketika ini

dijangka menyebabkan KWSP menambah lagi peratusan pelaburan ke dalam pasaran ekuiti untuk mengimbangi penurunan itu.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman pula berpendapat pelaburan yang dilaksanakan KWSP tidak seharusnya tertumpu kepada aspek ekonomi, pasaran kewangan, pembangunan hartanah dan infrastruktur semata-mata bagi memastikan prestasi pelaburan terus meningkat sekali gus mampu memberikan dividen lebih tinggi.

Beliau berkata, ia boleh diperluaskan kepada pembangunan modal insan seperti program pendidikan keusahawanan.

Selain itu, katanya, KWSP juga sudah boleh membuka ruang untuk melaksanakan pelaburan berskala kecil terutama kepada syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kompetitif dan berpotensi.

“Dalam keadaan ketidaktentuan yang amat ketara ketika ini, kebanyakan pelabur masih bersikap tunggu dan lihat untuk membuat pelaburan ekoran risiko yang tidak boleh dijangka.

“Namun, keadaan ini mampu diredakan dengan langkah berani kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi yang membantu meningkatkan keyakinan pelabur.

“Situasi ini juga membuka ruang kepada KWSP untuk terus mengekalkan langkah proaktif meneruskan pelaburan pada waktu pandemik ini. Potensi pasaran masih terbuka luas untuk diteroka terutama dalam era ekonomi digital ketika ini,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *