SOP Lebih Ketat Mungkin Dilaksanakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) jika rakyat gagal mematuhi SOP ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya didapati pelanggaran SOP masih berleluasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memberi pandangan kepada kerajaan.

“Kalau menyalahgunakan kelonggaran yang sudah diberikan, KKM akan beri pandangan dan nasihat. Kalau KKM merasakan perlu ditarik balik, kita akan ikut nasihat yang diberikan.

“Namun setakat ini belum ada keputusan yang diputuskan, jika pelanggaran terus berlaku kemungkinan akan menggunakan SOP yang lebih ketat lagi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, selepas kerajaan membenarkan rentas daerah dan negeri, rakyat mengambil peluang dengan pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga.

“Tetapi harus diingat supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan. Sebagai contoh tular video pengunjung yang melihat persembahan di Zoo Melaka, ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kelonggaran yang diberikan.

“Selain itu, di Langkawi juga tular baru-baru ini, jadi kita harap orang ramai memberi peringatan kepada sahabat dan diri sendiri supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas berhubung pelaksanaan semula sekatan jalan raya (SJR) di kawasan risiko tinggi, Ismail Sabri berkata, keputusan akan diambil selepas menerima nasihat dari KKM.

“Kita setakat ini masih ada perbincangan lanjut, keputusan akan dibuat selepas mendapat nasihat KKM,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *