Sabah Pertingkat Kerjasama Dua Hala Dengan China

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus meningkatkan hubungan baik dan kerjasama dua hala yang sedia terjalin dengan negara China.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah memerlukan bantuan dan sokongan daripada China dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, pelaburan harta tanah, infrastruktur dan pertanian bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Oleh itu, Majlis Penasihatan Ekonomi Sabah (SEAC) akan melawat negara China bagi menarik para pelabur ke Sabah selepas pandemik Covid-19.

Katanya, hubungan baik antara China-Malaysia dan Sabah telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutamanya dalam sektor perdagangan dan ekonomi.

Beliau berharap hubungan erat antara Sabah dan China akan meningkatkan dan mengembangkan semangat setia kawan dan persaudaraan dua hala antara kedua-dua wilayah tersebut.

Hajiji berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu, Liang Caide di Pejabat Ketua Menteri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Caide turut menyampaikan sumbangan 50,000 keping pelitup muka kepada Hajiji.

Hajiji mewakili Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negara China diatas sumbangan dan bantuan yang telah diberikan kepada negeri Sabah dalam memerangi pandemik Covid-19.

Sementara itu, Caide memberi jaminan pihaknya akan memberikan kerjasama dan bantuan yang diperlukan oleh Sabah kerana hubungan akrab China dan Malaysia.

Beliau yakin, Sabah dibawah pimpinan Hajiji mampu memerangi pandemik Covid-19.

Liang turut menjemput Hajiji melawat negara China selepas pandemik Covid-19, bagi melihat sendiri potensi pelaburan kedua-dua pihak, termasuk dalam bidang teknologi maklumat, pertanian dan lain-lain.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *