Jumpa Mayat Dengan Kesan Kecederaan Di Jalan Istana

Jalan Istana

KOTA KINABALU: Mayat lelaki dengan kesan luka di muka ditemui di kawasan bangunan lama Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Istana, di sini, hari ini.

Mayat yang belum dikenal pasti identiti dan dianggarkan berusia lingkungan 30 tahun itu ditemui jam 6.30 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan untuk ke tempat kerja sebelum memaklumkan kepada polis.

Keadaan mayat ditemui terbaring dengan kesan luka di bangunan lama JKR, Jalan Istana, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima makluman awam, sepasukan pegawai dan anggota dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, mayat lelaki terbabit terbaring dengan beberapa kesan kecederaan.

“Pemeriksaan awal di badan mangsa mendapati terdapat enam kesan luka kecil di muka, satu di telinga kanan dan lebam di leher.

Lokasi mayat ditemui terbaring dengan kesan luka di bangunan lama JKR, Jalan Istana, Kota Kinabalu. Foto ihsan polis

“Bagaimanapun, kecederaan di muka mangsa belum dipastikan sama ada disebabkan oleh senjata, gigitan atau cakaran haiwan liar memandang kawasan berkenaan mempunyai banyak monyet,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan diteruskan termasuk mendapatkan bantuan daripada Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah untuk membuat pemeriksaan di tempat kejadian.

“Kita juga menghubungi Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu siasatan lanjut selain menemubual saksi kejadian.

“Mayat mangsa juga akan menjalani proses bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *